Menuju ke Syurga

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya orang ramai telah bertanya Rasulullah s.a.w dengan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah kami dapat melihat Tuhan kami pada Hari Kiamat? Lalu Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Adakah memudharatkan iaitu berbahaya jikalau kamu melihat bulan pada malam purnama? Mereka pun menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Baginda bertanya lagi kepada mereka: Adakah berbahaya jikalau kamu melihat matahari yang tidak dilindungi awan? Mereka menjawab: Tidak, wahai Rasulullah! Kemudian baginda bersabda: Begitulah juga kamu akan melihatNya, Allah s.w.t akan menghimpunkan seluruh manusia pada Hari Kiamat dan berkata kepada mereka bermaksud: Barangsiapa yang menyembah sesuatu benda, maka ikutilah benda tersebut. Bagi orang yang menyembah matahari, mereka akan mengikut matahari tersebut. Bagi orang yang menyembah bulan maka mereka akan mengikuti bulan tersebut. Manakala orang yang menyembah toghut, maka mereka akan mengikuti taghutnya itu. Jadi tinggal lagi umat ini iaitu umat yang percaya kepada Allah termasuklah orang-orang munafik yang tetap dengan kemunafikan mereka. Lalu Allah mendatangi mereka dengan bukan gambaranNya yang sebenar di mana gambaran tersebut mereka kenali dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhanmu. Mereka berkata: Kami berlindung dengan Allah daripada engkau iaitu gambaran tersebut, beginilah pendirian kami sehingga Tuhan kami benar-benar datang kepada kami kerana kami mengenaliNya. Lalu Allah mendatangi mereka dengan gambaranNya yang sebenar sebagaimana yang mereka kenali dan berfirman kepada mereka: Akulah Tuhan kamu. Mereka pun menjawab: Engkaulah Tuhanku. Mereka pun mengikutNya. Kemudian Allah merentangkan kepada mereka suatu titian yang merentangi Neraka. Maka aku bersama umatku adalah orang pertama yang menyeberanginya. pada hari itu tiada seorangpun yang dapat berbicara kecuali para Rasul. Para Rasul berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Selamatkanlah, selamatkanlah. Di dalam Neraka terdapat sejenis besi berkait seperti duri Saadan iaitu nama tumbuhan yang berduri besar, adakah kamu pernah melihat duri Saadan? Mereka pun menjawab: Ya, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya ia seperti duri Saadan yang tidak diketahui sebesar manakah bentuknya kecuali Allah. Ianya menggait manusia bersama amalan mereka. Tinggallah orang-orang mukmin bersama amalannya yang berjaya melintasi Neraka. Setelah Allah menetapkan hukuman di antara para hamba dan hendak mengeluarkan mereka dengan rahmatNya maka Dia akan memerintahkan para malaikat agar mengeluarkan mereka dari Neraka tersebut. Manakala Orang yang tidak menyekutukanNya dan Dia menghendakinya maka mereka dikeluarkan dari sana dengan rahmatNya, begitu juga bagi orang yang berkata sesungguhnya para Malaikat mengenali mereka semasa dalam Neraka melalui kesan sujud. Api Neraka akan memakan seluruh anggota anak Adam kecuali kesan sujud. Allah telah mengharamkan api Neraka dari memakan kesan tersebut. Kemudian mereka dikeluarkan dari Neraka dalam keadaan hangus, lalu disiram dengan air kehidupan, maka pulihlah mereka sebagaimana tumbuhnya benih dalam kawasan banjir iaitu lumpur. Setelah Allah selesai dari mengadili hambaNya, tinggal lagi seorang lelaki yang menghadapkan wajahnya ke Neraka. Dia adalah ahli Syurga yang terakhir memasukinya. Dia berkata: Wahai Tuhanku, palingkanlah wajahku dari Neraka kerana wapnya benar-benar menampar mukaku dan nyalaannya membakarku. Dia terus memohon daripada Allah sepuas-puasnya. Kemudian Allah s.w.t berfirman: Adakah kamu akan terus meminta sekiranya Aku menunaikan permintaanmu itu? Lalu dia menjawab: Aku tidak akan meminta lagi dariMu perkara lain. Lalu Allah memperkenankan permohonannya itu dan memalingkan mukanya dari Neraka. Apabila dia berpaling mengadap Syurga dia terus terpegun, lalu dia memohon daripada Allah dengan berkata: Wahai Tuhanku, hampirkanlah aku kepada pintu Syurga. Maka Allah menjawab: Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lagi perkara lain dariKu, celaka sungguh engkau wahai anak Adam. Dia pun menjawab: Tidak, demi keagunganMu, lalu dia berjanji lagi kepada Tuhannya. Lalu Allah mendekatkannya ke pintu Syurga. Setelah dia berdiri di ambang pintu Syurga, terbukalah pintu Syurga dengan luas untuknya, sehingga dia dapat melihat dengan jelas segala keindahan dan kesenangan yang terdapat di dalamnya. Dia terus diam terpegun untuk seketika, kemudian dia berkata lagi: Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam Syurga. Maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: Bukankah engkau telah berjanji tidak akan meminta selain perkara yang telah Aku berikan? Celaka engkau wahai anak Adam. Lalu dia menjawab: Tidak, wahai Tuhanku, aku tidak mahu menjadi makhlukMu yang paling malang. Dia terus berdoa kepada Tuhannya tanpa berputus asa sehinggalah Allah memperkenankan permintaannya lalu berfirman kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Setelah dia memasuki Syurga, Allah berfirman kepadanya: Pohonlah lagi. Maka dia terus memohon kepada Tuhannya dan dia terus meminta sehinggalah Allah mengingatkannya dengan beberapa perkara. Setelah habis permintaannya, Allah s.w.t pun berfirman: Apa yang berlaku itu merupakan kemurahanku kepadamu dan umatmu, begitu juga kepada umat lain bersama Nabi mereka


” Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad As-Sa’idiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bertemu dengan orang-orang musyrik dan terjadilah peperangan. Semasa Rasulullah kembali ke pasukan muslimin dan orang kafir kembali ke pasukan mereka terdapat seorang lelaki dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak membiarkan musuh berlalu begitu sahaja. Dia mengejar dan menetak musuh dengan pedangnya. Sahabat Rasulullah yang lain berkata: Pada hari ini tiada di kalangan kita yang benar-benar berpuas hati seperti yang dilakukan oleh Si Anu. Rasulullah s.a.w terus bersabda apabila mendengar kata-kata itu: Tetapi ingat! Dia tergolong dalam golongan ahli Neraka. Seorang lelaki dari kaum muslimin berkata: Aku akan mengikutnya sepanjang masa. Sahl bin Saad berkata lagi: Lelaki itu telah keluar bersama-sama dengan Si Anu, apabila Si Anu berhenti ketika berperang maka dia turut berhenti, ketika Si Anu bergerak pantas maka dia pun sama bergerak pantas. Lelaki itu telah menceritakan bahawa Si Anu telah mengalami luka parah. Oleh kerana tidak tahan dengan kesakitan yang dialami, maka dia ingin segera mati lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah lalu menikam dirinya sendiri. Lelaki itu keluar bertemu Rasulullah lalu berkata: Aku bersaksi sesungguhnya engkau Muhammad, sememangnya Rasul iaitu utusan Allah. Rasulullah bertanya dengan sabda baginda: Kenapa dengan kamu ni? Lelaki itu berkata: Lelaki yang engkau sebut-sebut sebagai ahli Neraka dan kebanyakkan manusia iaitu Sahabat dan pejuang-pejuang mengambil berat tentang hal ini, aku bersaksi kepada kamu Rasulullah s.a.w tentang Si Anu, aku telah keluar mengikutnya sepanjang peperangan sehingga aku dapati dia telah luka parah, dia ingin cepat mati, lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah dan mata pedang di antara dua dadanya kemudian dia menekan ke atas dirinya lantas membunuh dirinya sendiri. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ada lelaki yang beramal seperti amalan ahli Syurga sedangkan dia adalah ahli Neraka. Ada juga lelaki yang beramal dengan amalan ahli Neraka sedangkan dia adalah ahli Syurga ”

” Diriwayatkan daripada Jundab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Terdapat seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu dijangkiti bisul. Ketika bisul itu membuatnya sakit, dia mencabut panah dari bekasnya lalu membedah bisul tersebut menyebabkan darah tidak berhenti mengalir sehingga lelaki tersebut mati. Allah berfirman: Aku mengharamkan Syurga ke atasnya ”

” Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju ke Khaibar. Allah memberikan kemenangan kepada kami, tetapi kami tidak mendapatkan harta rampasan perang berupa emas atau perak. Kami hanya memperolehi barang-barang, makanan dan pakaian. Kemudian kami berangkat menuju ke sebuah lembah dan terdapat seorang hamba bersama Rasulullah s.a.w milik baginda yang diberikan oleh seorang lelaki dari Juzam. Hamba itu bernama Rifa’ah bin Zaid dari Bani Ad-Dhubaib. Ketika kami menuruni lembah, hamba Rasulullah itu berdiri untuk melepaskan pelananya tetapi, dia terkena anak panah dan ternyata itulah saat kematiannya. Kami berkata: Ketenanganlah baginya dengan Syahid wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak mungkin! Demi zat yang menguasai Muhammad sesungguhnya sehelai baju yang diambilnya dari harta rampasan perang Khaibar, yang tidak dimasukkan dalam pembahagian akan menyemarakkan lagi api Neraka ke atasnya. Abu Hurairah berkata: Maka terkejutlah orang-orang Islam. Lalu datanglah seorang lelaki dengan membawa seutas atau dua utas tali pelana, lalu berkata: Wahai Rasulullah, aku mendapatkannya semasa perang Khaibar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Seutas atau dua utas tali pelana itu dari Neraka “