Menarik .com - start internet business » Ada lelaki yang beramal seperti amalan ahli Syurga sedangkan dia adalah ahli Neraka
Ada lelaki yang beramal seperti amalan ahli Syurga sedangkan dia adalah ahli Neraka
” Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad As-Sa’idiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bertemu dengan orang-orang musyrik dan terjadilah peperangan. Semasa Rasulullah kembali ke pasukan muslimin dan orang kafir kembali ke pasukan mereka terdapat seorang lelaki dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak membiarkan musuh berlalu begitu sahaja. Dia mengejar dan menetak musuh dengan pedangnya. Sahabat Rasulullah yang lain berkata: Pada hari ini tiada di kalangan kita yang benar-benar berpuas hati seperti yang dilakukan oleh Si Anu. Rasulullah s.a.w terus bersabda apabila mendengar kata-kata itu: Tetapi ingat! Dia tergolong dalam golongan ahli Neraka. Seorang lelaki dari kaum muslimin berkata: Aku akan mengikutnya sepanjang masa. Sahl bin Saad berkata lagi: Lelaki itu telah keluar bersama-sama dengan Si Anu, apabila Si Anu berhenti ketika berperang maka dia turut berhenti, ketika Si Anu bergerak pantas maka dia pun sama bergerak pantas. Lelaki itu telah menceritakan bahawa Si Anu telah mengalami luka parah. Oleh kerana tidak tahan dengan kesakitan yang dialami, maka dia ingin segera mati lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah lalu menikam dirinya sendiri. Lelaki itu keluar bertemu Rasulullah lalu berkata: Aku bersaksi sesungguhnya engkau Muhammad, sememangnya Rasul iaitu utusan Allah. Rasulullah bertanya dengan sabda baginda: Kenapa dengan kamu ni? Lelaki itu berkata: Lelaki yang engkau sebut-sebut sebagai ahli Neraka dan kebanyakkan manusia iaitu Sahabat dan pejuang-pejuang mengambil berat tentang hal ini, aku bersaksi kepada kamu Rasulullah s.a.w tentang Si Anu, aku telah keluar mengikutnya sepanjang peperangan sehingga aku dapati dia telah luka parah, dia ingin cepat mati, lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah dan mata pedang di antara dua dadanya kemudian dia menekan ke atas dirinya lantas membunuh dirinya sendiri. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ada lelaki yang beramal seperti amalan ahli Syurga sedangkan dia adalah ahli Neraka. Ada juga lelaki yang beramal dengan amalan ahli Neraka sedangkan dia adalah ahli Syurga ”
” Diriwayatkan daripada Jundab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Terdapat seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu dijangkiti bisul. Ketika bisul itu membuatnya sakit, dia mencabut panah dari bekasnya lalu membedah bisul tersebut menyebabkan darah tidak berhenti mengalir sehingga lelaki tersebut mati. Allah berfirman: Aku mengharamkan Syurga ke atasnya ”
” Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju ke Khaibar. Allah memberikan kemenangan kepada kami, tetapi kami tidak mendapatkan harta rampasan perang berupa emas atau perak. Kami hanya memperolehi barang-barang, makanan dan pakaian. Kemudian kami berangkat menuju ke sebuah lembah dan terdapat seorang hamba bersama Rasulullah s.a.w milik baginda yang diberikan oleh seorang lelaki dari Juzam. Hamba itu bernama Rifa’ah bin Zaid dari Bani Ad-Dhubaib. Ketika kami menuruni lembah, hamba Rasulullah itu berdiri untuk melepaskan pelananya tetapi, dia terkena anak panah dan ternyata itulah saat kematiannya. Kami berkata: Ketenanganlah baginya dengan Syahid wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak mungkin! Demi zat yang menguasai Muhammad sesungguhnya sehelai baju yang diambilnya dari harta rampasan perang Khaibar, yang tidak dimasukkan dalam pembahagian akan menyemarakkan lagi api Neraka ke atasnya. Abu Hurairah berkata: Maka terkejutlah orang-orang Islam. Lalu datanglah seorang lelaki dengan membawa seutas atau dua utas tali pelana, lalu berkata: Wahai Rasulullah, aku mendapatkannya semasa perang Khaibar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Seutas atau dua utas tali pelana itu dari Neraka “

Leave a comment