Menarik .com - start internet business » Gaya Angkasawan Malaysia 2020


Gaya Angkasawan Malaysia 2020

Gaya Angkasawan Malaysia 2020

Angkasawan kita bawa roti canai, teh tarik ke angkasa lepas

KUALA LUMPUR 8 Mac - Cuba teka apa yang akan dimakan dan dipakai oleh angkasawan pertama Malaysia di angkasa lepas apabila menyertai misi angkasa lepas Rusia yang dijadual Oktober 2007?

Teh tarik, roti canai, sambal belacan dan batik!

Ia tidak melucukan. Ia merupakan perkara serius.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman berkata, banyak penyelidikan saintifik akan dijalankan bagi merealisasikan idea itu.

“Kita hanya mahu angkasawan kita menikmati makanan Malaysia di angkasa lepas dan ia akan membabitkan banyak aktiviti sains dalam menyediakan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian pameran “Meneroka Sistem Suria” di Planetarium Negara di sini.

Beliau berkata, Agensi Angkasa Negara akan menghantar chef dan pereka fesyen ke Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Nasional (NASA) di Houston, Amerika Syarikat untuk menjalankan kajian dengan bantuan agensi angkasa lepas Amerika itu.

“Kita mahu angkasawan kita berkongsi budaya tempatan dengan rakan-rakan Rusia mereka dalam misi itu,” katanya.

Prof. Dr. Mazlan berkata, para ulama juga mungkin terbabit dalam penyelidikan jika calon angkasawan itu beragama Islam.

“Bantuan mereka diperlukan dalam menentukan arah kiblat (Kaabah) dan waktu solat di angkasa lepas,” katanya.

Ditanya sama ada durian akan dibawa atau dibenarkan dalam pesawat, beliau berkata: “Tidak. Tidak.”

Program angkasawan Malaysia yang menelan belanja kira-kira AS$25 juta (RM95 juta) merupakan sebahagian program mengimbangi pemerolehan 18 Sukhoi SU-30 MKM, pesawat udara pelbagai guna bernilai AS$900 juta (RM3.4 bilion) daripada Rusia.

Perjanjian itu ditandatangani pada 5 Ogos 2003 di Putrajaya dan jet pejuang akan diserahkan secara berperingkat-peringkat bermula tahun depan.

Rusia akan melaksanakan pemindahan teknologi dan program ofset (perseimbangan) bernilai AS$270 juta (RM1.026 bilion), membabitkan kira-kira 30 peratus nilai kontrak.

Dalam perjanjian pembelian timbal balas itu, Rusian akan membeli minyak sawit Malaysia bernilai AS$270 juta dan baki bayaran pesawat itu akan dibayar secara tunai oleh Malaysia.

Prof Dr. Mazlan berkata angkasawan Malaysia tidak semata-mata berperanan sebagai `penumpang’ pada misi angkasa lepas itu memandangkan mereka (lelaki atau wanita) akan menjalankan eksperimen saintifik sepanjang enam hingga lapan hari di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa berkenaan.

“Ia bukan penjalanan yang glamour. Perjalanan itu juga bukan penamat kepada kerjaya seorang angkasawan (Malaysia),” katanya.

Prof Dr. Mazlan berkata, dua pakar agensi angkasa lepas Rusia akan tiba di sini akhir bulan ini bagi membantu memilih calon program berkenaan.

Beliau berkata 30 bakal angkasawan daripada 3,700 permohonan telah disenaraipendek untuk mengikuti misi angkasa lepas itu.

Daripada jumlah itu, hanya 10 orang akan dipilih oleh sepasukan pegawai agensi angkasa lepas Rusia dan mereka akan dihantar ke negara berkenaan menjelang akhir tahun untuk pemeriksaan menyeluruh.

Hanya dua calon akan dipilih untuk menjalani latihan dua tahun dan seorang akan menjadi rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas manakala seorang lagi akan dimasukkan dalam senarai simpanan.

Pameran `Meneroka Sistem Suria’ selama tiga minggu itu dianjurkan bersama oleh British Council dan Agensi Angkasa Negara. Masuk adalah percuma. - Bernama


Leave a comment

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <blockquote cite=""> <code> <em> <strong>